Sunday, April 12, 2009

Ke mana perginya MECD??




Setelah DS Najib menamakan senarai baru ahli-ahli kabinet, perkara pertama yang mengambil perhatian saya selain daripada menteri-menteri yang baru di lantik adalah ke mana pergi nya Kementerian Pembangunan Usahwan & Koperasi (MECD). Kementerian ini adalah sangat penting bagi menaikkan ekonomi orang melayu di mana MARA, TEKUN, Bank Rakyat, SME Bank etc bernaung di bawah kementerian ini. Info yang saya dapati adalah MARA & TEKUN akan berada di bawah Kementerian Luar Bandar (Shafie Afdal) manakala Bank Rakyat & SME Bank akan di letakkan di bawah MITI (Tok Pa); akan tetapi masih belum ada penerangan yang terperinci mengenai kedudukan baru ini.

Saya, secara peribadi merasakan Menteri-menteri yang terbabit perlulah menjelaskan kedudukan baru ini dengan kadar segera sebelum ada suara-suara yang kurang enak dari pihak-pihak tertentu. Hari ini, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) telah mengeluarkan kenyatan media seperti berikut:

“Biarpun Kabinet baru berslogan Satu Malaysia tetapi kita berharap jangan sampai menghentikan agenda bumiputera,’’

Tunku Razaleigh juga memberi komen mengenai isu ini kepada media:

“Barangkali, kerana penjelasan tak pernah diberi oleh kerajaan atau Perdana Menteri, ia dilihat sebagai langkah awal kepada usaha hendak mengurangkan bantuan dan pertolongan kepada bumiputera seperti yang diamalkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB)’’

Sebelum perkara ini dibesar-besarkan, saya harap pihak yang terbabit dapat memberikan penjelasan kenapa Kementerian ini dimansuhkan dan juga apakah kelebihan agensi-agensi kerajaan ini berada di bawah kementerian yang baru. Jika perubahan ini membawa kebaikan dari segi integrasi yang lebih baik bagi pembangunan usahawan bumiputra, saya amat bersetuju. Walaubagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilain terhadap penyesuaian dan penyusunan baru agensi-agensi yang terbabit.

Saya juga ingin berkongsi pengalaman saya ketika membuat permohonan pinjaman perniagaan MARA baru-baru ini. Setelah mendapat kelulusan di pihak daerah dan negeri, saya ke Ibu Pejabat MARA untuk bertemu pegawai di sana. Pegawai MARA menjelaskan kepada saya bahawa keadaan kewangan MARA sekarang amat sempit disebabkan oleh peminjam-peminjam yang tidak membiayai pinjaman perniagaan mereka sebelum ini. Beliau juga berkata, pihak MARA hanya boleh memberikan pinjaman apabila "collection" daripada para peminjam ini dapat dikutip balik. Setelah mendapat kelulusan pihak ibu pejabat, paling cepat 6 bulan untuk kami memberikan wang pinjaman kepada peminjam baru.

Setelah mendengar penjelasan pegawai tersebut, saya secara peribadi merasakan pihak MARA perlu merombak semula sistem kelulusan pinjaman supaya pinjaman dapat diberikan kepada mereka yang betul2 layak mendapatkannya. Saya setuju MARA & TEKUN wujud untuk memberikan pinjaman dengan syarat-syarat yang lebih longgar berbanding bank-bank konvensional; akan tetapi jangan pula ada peminjam-peminjam yang mengambil peluang dan merasakan bahawa wang ini adalah hak mereka sampai hak-hak usahawan melayu lain di abaikan. SIapa yang perlu dipersalahkan, pihak MARA ataupun peminjam yang tidak bertanggungjawab??? Saya harap pihak-pihak yang berkaitan perlu membuat analisa dan 'study' terhadap senario ini sebelum orang ramai melihat bahawa MARA adalah tidak relevan lagi bagi menaikkan taraf ekonomi kaum bumiputra - FR

No comments:

Post a Comment