Tuesday, May 5, 2009

Lima Rukun Pemuda


Pemuda Umno Pusat telah menggariskan pendekatan yang sentiasa segar dengan tuntutan semasa yang membentuk sikap dan kehendak pengundi muda. Sehubungan dengan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairi Jamaluddin telah mengumumkan penstrukturan kepada biro, sekretariat dan unit sebagai satu pendekatan perubahan strategik pergerakan itu bagi menarik sokongan pengundi muda. Pendekatan baru itu juga bukan sahaja untuk menarik sokongan golongan muda Melayu tetapi juga merentasi batasan kaum untuk memastikan kejayaan BN.

Dalam pengumuman selepas Majlis Khemah Kerja Perdana Pemuda UMNO itu, Khairy menggariskan bahawa pendekatan tersebut adalah berdasarkan lima rukun Pemuda iaitu Berprinsip, Inklusif , Proaktif, Relevan dan Bersatu.

Menurut Khairy, Pemuda Berprinsip bermakna Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO, agama, bangsa dan negara serta mempertahankan Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa.

Pemuda Inklusif adalah dengan memberi fokus kepada usaha bukan saja pada ahli UMNO tetapi juga generasi muda tanpa mengira kaum yang tidak berparti dan tidak menyokong kita," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Proaktif bermaksud tidak perlu menunggu sebarang arahan untuk menyelesaikan masalah dan ia perlu dilakukan dengan pantas dan berkesan sebelum ia menjadi krisis yang besar.

Katanya, bagi menjadikan Pemuda Relevan, semua programnya diubah suai mengikut cita rasa golongan muda dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media baru, facebook dan lain-lain.

"Dan yang terakhir (rukun kelima) adalah Pemuda Bersatu. Pemuda tidak boleh berpuak-puak dan terikut-ikut dengan politik pecah-belah kerana ia akan menggagalkan usaha BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang," katanya.-ss

1 comment: