Monday, May 11, 2009

Ulangtahun UMNO ke -63.






63 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa pertemuan dan perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai persatuan dari seluruh tanahair telah bersepakat untuk menyatukan seluruh perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama ini terpisah-pisah atas faktor primordial dan parochial.

Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO. Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.

Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan.

Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu UMNO. Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.

Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan perjuangan Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul. Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 63 tahun yang lalu.

Pada masa sama, Presiden UMNO; Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu.Sebaliknya, Perdana Menteri mahu mereka berusaha melakukan perubahan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan.

Beliau juga menegaskan, pemimpin dan ahli parti perlu menyedari bahawa semakin ramai pengundi masa kini terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO dan BN.Sehubungan itu, beliau menuntut ahli-ahli parti itu berubah dari segi cara berfikir, strategi politik dan kaedah berkomunikasi dengan pengundi baru mengenai dasar yang diperjuangkan UMNO dan BN.

No comments:

Post a Comment